SALUR MAKLUMAT KANAK-KANAK PEREMPUAN HILANG DI TALIAN KASIH - EXCO

22/07/2024 10:43 PM

JOHOR BAHRU, 22 Julai (Bernama) -- Kerajaan Johor menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di sebuah pusat beli-belah di Iskandar Puteri, Sabtu lepas kepada Talian Kasih 15999.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Khairin-Nisa Ismail@Md On berkata maklumat itu juga, boleh disalurkan melalui aplikasi Whatsapp di talian 019-2615 999 atau Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah berdekatan.

Beliau berkata orang ramai turut boleh menghubungi balai polis berdekatan atau talian khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri 019-279 2095 atau Talian Bilik Gerakan 07-2212 999.

“Kerajaan negeri di bawah Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor telah mengarahkan semua agensi di bawah jawatankuasa ini, untuk membuat hebahan berkaitan kehilangan kanak-kanak tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius isu kehilangan kanak-kanak itu dan menyeru ibu bapa atau penjaga serta orang awam agar lebih prihatin dan peka, dalam memastikan pemantauan dan keselamatan kanak-kanak diberi perhatian utama setiap masa.

Semalam, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan dilapor meminta bantuan orang ramai untuk mengesan Albertine Leo Jia Hui yang disedari hilang oleh bapanya di sebuah pusat beli-belah kira-kira 8.30 malam, Sabtu.

Kumarasan dipetik berkata kanak-kanak berketinggian lebih kurang 120 sentimeter, rambut panjang berwarna hitam, kulit cerah dan tubuh sederhana kurus itu, memakai kemeja T berwarna putih dengan gambar 'Mickey Mouse' pada bahagian dada dan berseluar pendek.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan