KRONOLOGI KES BUNUH ZULFARHAN

23/07/2024 09:55 PM

PUTRAJAYA, 23 Julai (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), kerana membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lepas.

Bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali, yang kini berusia 28 tahun.

Berikut merupakan kronologi kes pembunuhan Zulfarhan:

 

1 Jun 2017

  • Zulfarhan, 21, meninggal dunia di Hospital Serdang dengan kesan lebam dan melecur di badan.
  • Polis menahan reman 36 penuntut UPNM dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) bagi membantu siasatan.

2 Jun 2017

  • Jenazah Zulfarhan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, Johor Bahru pada 9.30 malam.

5 Jun 2017

  • UPNM dalam satu kenyataan yakin satu siasatan profesional dan telus sedang dijalankan berhubung kematian Zulfarhan yang meninggal dunia dipercayai didera.

 

9 Jun 2017

  • Tempoh reman 32 mahasiswa UPNM dilanjutkan mulai 10 hingga 14 Jun, sementara empat mahasiswa Uniten dibebaskan pada 9 Jun dengan jaminan polis.

14 Jun 2017

  • Seramai 19 penuntut UPNM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Zulfarhan.
  • Enam daripada mereka didakwa atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan.

15 Sept 2017

  • Kes enam penuntut UPNM yang didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan.

27 Okt 2017 

  • Pendakwaan memohon kes 19 penuntut UPNM yang menyebabkan cedera terhadap Zulfarhan dipindah dan dibicarakan bersama dengan kes bunuh Zulfarhan di Mahkamah Tinggi.

10 Nov 2017

  • Enam penuntut UPNM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan.

13 Nov 2017

  • Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes 19 penuntut UPNM yang menghadapi pertuduhan membunuh dan mencederakan Zulfarhan dibicarakan bersama.

8 Dis 2017

  • Mahkamah Tinggi menetapkan 14 hari bermula 29 Jan 2018 untuk perbicaraan kes 19 penuntut UPNM yang didakwa membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

29 Jan 2018

  • Hari pertama perbicaraan kes bunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah.

8 Julai 2019

  • Mahkamah Tinggi tetapkan 31 Julai untuk keputusan di akhir kes pendakwaan membabitkan 19 penuntut UPNM yang didakwa membunuh dan mencederakan Zulfarhan, selepas memanggil 29 saksi pendakwaan memberi keterangan.

31 Julai 2019

  • Mahkamah Tinggi perintah 18 penuntut UPNM untuk membela diri terhadap tuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan, manakala seorang lagi penuntut universiti sama dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mencederakan mangsa.

1 April 2021

  • Seramai 20 saksi pembelaan termasuk 18 tertuduh, selesai memberi keterangan di Mahkamah Tinggi pada perbicaraan kes membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

8 April 2021

  • Pihak pembelaan menutup kes.

28 Julai 2021

  • Hujahan akhir kes pembelaan 18 penuntut UPNM yang didakwa membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan ditetapkan pada 29 dan 30 Sept 2021.

30 Sept 2021

  • Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah selesai mendengar hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan di akhir kes pembelaan dan menetapkan 2 Nov 2021 untuk keputusan kes bunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

2 Nov 2021

  • Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut UPNM selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan.
  • Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi 12 lagi penuntut universiti sama selepas didapati bersalah atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan. 

3 Nov 2021

  • Jabatan Peguam Negara akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan kesalahan enam penuntut UPNM atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan, yang sebelum ini mereka didakwa atas pertuduhan membunuh.

17 April 2024

  • Mahkamah Rayuan tetapkan 14 Mei untuk mendengar rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas penuntut UPNM atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan.

14 Mei 2024

  • Lima bekas penuntut UPNM menarik balik rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun kerana mencederakan Zulfarhan.

16 Mei 2024

  • Mahkamah Rayuan menetapkan 23 Julai untuk keputusan rayuan 18 bekas penuntut UPNM.

23 Julai 2024

  • Enam bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan kerana membunuh Zulfarhan.
  • Mahkamah itu turut mengetepikan hukuman penjara 18 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Nov 2021 terhadap keenam-enam tertuduh, selepas meminda pertuduhan membunuh Zulfarhan kepada menyebabkan kematian tanpa niat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
  • Mahkamah juga mengetepikan hukuman penjara tiga tahun dan menggantikannya dengan penjara empat tahun ke atas 12 lagi bekas penuntut universiti sama, kerana mencederakan Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan