PETUGAS MBMB DIDAKWA TERIMA RASUAH RM2,700

24/07/2024 01:43 PM

MELAKA, 24 Julai (Bernama) -- Seorang petugas Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,700 daripada kontraktor pengiklanan di Melaka pada 2021 dan tahun lepas.

Muhammad Firdaus Ab Aziz, 41, yang bertugas sebagai penolong pegawai tadbir di MBMB didakwa menerima wang tunai berjumlah RM2,200 dan RM500 daripada pengurus Syarikat Pusat Pengiklanan Prisma  Ong Ah Siong untuk kerja-kerja pembekalan yang ditawarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 Okt 2021 dan antara 15 hingga 31 Jan 2023 di dalam daerah Melaka Tengah di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah sekyen yang sama iaitu penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan Muhammad Firdaus dikenakan jaminan RM5,000 berserta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri ke Pejabat SPRM Melaka sebulan sekali selain perlu menyerahkan pasport.

Muhammad Firdaus yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon kepada mahkamah agar jaminan rendah dikenakan. 

Hakim Elesabet Paya Wan kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin berserta semua syarat tambahan, dan sebutan kes ditetapkan pada 14 Ogos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan