LARIKAN KANAK-KANAK PEREMPUAN DI JERAM, PENJUAL PISANG GORENG DIDAKWA ESOK

24/07/2024 09:23 PM

SHAH ALAM, 24 Julai (Bernama) -- Seorang penjual pisang goreng yang dipercayai melarikan kanak-kanak perempuan warga tempatan pada 19 Julai lepas akan dituduh di Mahkamah Majistret Sungai Besar, Sabak Bernam pada 9 pagi esok.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya telah mendapat arahan bagi menuduh lelaki 32 tahun itu dengan dua kesalahan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melarikan kanak-kanak daripada jagaan yang sah.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Hussein mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor telah menerima satu aduan berhubung kehilangan seorang kanak-kanak perempuan lapan tahun di Taman Ikan Emas di Jeram, Kuala Selangor pada 6.30 petang, 19 Julai.

“Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 369 Kanun Keseksaan/Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. 

Bagaimanapun, Hussein berkata kanak-kanak lapan tahun itu bersama seorang lagi kanak-kanak lain telah dihantar semula oleh suspek di Taman Kelisa, Jeram pada hari yang sama.

“Hasil siasatan, mangsa telah dibawa oleh seorang suspek dipercayai warga tempatan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Bezza hitam dengan nombor pendaftaran yang tidak dipastikan,” katanya.

Hussein memaklumkan bertindak atas maklumat pada 2.40 pagi, 21 Julai lepas, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Selangor telah mengesan dan menangkap suspek lelaki warga tempatan di Jalan Pawang Jalil di Jeram.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki disyaki melarikan dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan lapan tahun dengan menaiki Perodua Bezza di Kuala Selangor, dicekup polis di sebuah rumah di Jeram pada 2.40 pagi, 21 Julai.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan