KELUARGA ALBERTINE LEO TIDAK KENAL KESEMUA SUSPEK - POLIS

25/07/2024 03:26 PM

JOHOR BAHRU, 25 Julai (Bernama) -- Keluarga kepada Albertine Leo Jia Hui, 6, yang hilang di pusat beli-belah di Iskandar Puteri Sabtu lepas, tidak mempunyai sebarang hubungan dengan kelima-lima suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes penculikan kanak-kanak itu.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata ibu bapa kanak-kanak berkenaan juga tidak mengenali suspek kelima yang ditahan polis bersama anak mereka di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor, Selasa lepas. 

“Tiada sebarang perkenalan atau hubungan antara keluarga dengan kelima-lima suspek termasuk yang ditangkap bersama mangsa. Bagaimanapun, motif penculikan dan hubungan antara kesemua suspek masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata reman terhadap empat suspek melibatkan dua lelaki dan dua wanita berumur 28 hingga 55 tahun itu akan tamat esok dan sekiranya tiada keperluan disambung reman, keempat-empat mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis. 

Kumar berkata reman bagi suspek kelima iaitu lelaki berumur 31 tahun yang ditangkap bersama mangsa pula akan tamat pada Isnin depan dan proses siasatan masih berjalan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. 

Berhubung pakaian suspek kelima ketika ditahan yang mengenakan baju festival Bon Odori Johor, Kumar berkata perkara itu tidak menunjukkan dia merupakan seorang peniaga di festival terbabit kerana baju itu boleh dibeli oleh sesiapa sahaja yang berkunjung ke festival berkenaan.

Ditanya sama ada terdapat tangkapan baharu berhubung kes berkenaan, beliau berkata masih terlalu awal untuk memuktamadkan perkara itu memandangkan proses siasatan masih berjalan.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang selalu memberi maklumat dan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya kepada polis Johor untuk kita sama-sama memastikan Johor kekal selamat bagi semua pihak,” kata Kumar.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan sebelum ini dilaporkan meminta bantuan orang ramai untuk mengesan kanak-kanak itu yang disedari hilang oleh bapanya pada 8.30 malam, Sabtu, di sebuah pusat beli-belah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan