PENGANGGUR DIDAKWA BUNUH LELAKI DI PERHENTIAN BAS

25/07/2024 03:29 PM

KOTA BHARU, 25 Julai (Bernama) -- Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan membunuh seorang lelaki berumur 31 tahun pada 13 Julai lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Mazlan Mat Noh, 47, ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mazlan didakwa membunuh Abdul Hayyiy Ismail, 31, di perhentian bas di Lorong Che Majid, Jalan Sultan Yahya Petra pada 9.29 pagi, 13 Julai lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan boleh dikenakan minumum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Syahmi Yazid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 8 Dis depan untuk sebutan semula kes untuk serahan laporan kimia, bedah siasat serta asid deoksiribonukleik (DNA).

Pada 13 Julai lepas, Abdul Hayyiy yang berumur lingkungan 30-an ditemui maut oleh orang awam di kawasan kaki lima sebuah perhentian bas dipercayai akibat ditikam di belakang badan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan