BEKAS PEGAWAI TADBIR JAIM DIDENDA RM50,000 PERDAYA GURU SANDARAN

25/07/2024 03:34 PM

MELAKA, 25 Julai (Bernama) -- Bekas penolong pegawai tadbir Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini, kerana memperdayakan seorang guru sandaran tidak terlatih untuk menyerahkan sejumlah wang sehingga kerugian lebih RM30,000 tujuh tahun lepas.

Hakim Elesabet Paya Wan menetapkan hukuman itu selepas Muhammad Anuar Mat Zin, 39, mengaku bersalah atas pertuduhan itu serta mengarahkan penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Anuar yang ketika itu bertugas di Bahagian Sumber Manusia JAIM telah memperdayakan Mohd Zulhilmi Ismail untuk mempercayai bahawa resit rasmi penerimaan balik emolumen IPT, elaun bantuan sara hidup (COLA) dan Elaun Khidmat Awam (EKA) kerana peletakan jawatan dengan jumlah bayaran RM30,749.88 adalah tulen. 

Perbuatan yang dilakukan pada 3 hingga 8 Nov 2017 itu telah mendorong Mohd Zulhilmi untuk menyerahkan wang berkenaan kepada tertuduh, yang tidak akan diserahkan sekiranya tidak diperdayakan sedemikian. 

Muhammad Anuar yang kini berkhidmat di sebuah kolej matrikulasi di Johor didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali. 

Mengikut fakta kes, antara skop kerja tertuduh ketika itu ialah bertanggungjawab mengawal selia pegawai bawahan Unit PSM dalam menguruskan hal-hal berkaitan perkhidmatan guru-guru agama bagi sekolah rendah dan menengah agama, hal berkaitan gaji, kontrak dan lain-lain. 

Pada 27 Mei 2017, tertuduh telah menyediakan surat tuntutan bayaran balik gaji terlebih bayar dengan kaedah bayaran secara tunai dan resit rasmi Kerajaan Negeri Melaka kepada tertuduh dan tiga lagi guru sandaran tidak terlatih yang mendorong mereka menyerahkan wang tunai berjumlah keseluruhan RM154,884.40 kepada lelaki itu sedangkan bayaran terbabit tidak diterima oleh pihak JAIM. 

Siasatan mendapati tertuduh telah membuat dan menandatangani surat tuntutan bayaran balik gaji terlebih bayar itu dan mengeluarkan resit rasmi Kerajaan Negeri Melaka. 

Terdahulu, peguam Mohd Nazri Abd Hamid yang mewakili Muhammad Anuar merayu agar satu jumlah denda yang rendah dikenakan memandangkan anak guammya seorang bapa tunggal yang menanggung tiga anak berusia antara 9 hingga 15 tahun serta ibu bapanya.

Tertuduh juga katanya, hanya menerima separuh gaji dan sedang digantung tugas, serta berdepan risiko dibuang kerja.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Azriff Firdaus Mohamad Ali memohon satu bentuk hukuman denda antara RM50,000 hingga RM80,000 kerana tertuduh merupakan seorang penjawat awam dan kesalahan yang dilakukan adalah serius kerana melibatkan dana awam dan jabatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan