Kes Bunuh Nur Farah Kartini: Anggota Polis Akan Didakwa Hari Ini

26/07/2024 08:42 AM

HULU SELANGOR, 26 Julai (Bernama) -- Seorang anggota polis akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini berhubung kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah yang mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit.

Lelaki itu yang bertugas di Perak akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Setakat pukul 7 pagi, pengamal media mula berkumpul di luar mahkamah untuk membuat liputan kes itu.

Nur Farah Kartini, 25, yang merupakan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum mayatnya dijumpai di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam di sini, kira-kira pukul 6 petang lima hari kemudian.

Sebelum ini, tempoh reman terhadap lelaki berumur 26 tahun itu dilanjutkan selama tujuh hari hingga 29 Julai selepas tahanan reman pertama tamat, namun hari ini pendakwaan mendapat izin untuk pertuduhan dikemukakan terhadapnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan