Suami isteri maut kemalangan dua kenderaan di Lipis

26/07/2024 10:18 AM

KUANTAN, 26 Julai (Bernama) -- Sepasang suami isteri maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan di KM350 Jalan Kuala Lumpur–Kota Bharu, berhampiran lampu isyarat Jalan Lingkaran Tengah (CSR) Raub, Batu 3, Lipis malam tadi.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abdul Rahman berkata nahas yang berlaku kira-kira pukul 10.20 malam itu menyebabkan Muhamad Anasar Kamarozaman, 34, pengawal keselamatan sekolah dan isterinya, Zalina Ali, 40, pembantu kedai kasut meninggal dunia di tempat kejadian. 

Beliau berkata dua anak pasangan itu yang turut berada di dalam kenderaan jenis Proton Wira yang dipandu mangsa serta pemandu pacuan empat roda terbabit mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Raub untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa pasangan suami isteri bersama dua anak mereka dalam perjalanan balik ke Dong dari arah susur keluar CSR Raub.

 “Semasa kereta mereka hendak meneruskan perjalanan selepas lampu isyarat bertukar hijau, tiba-tiba datang kenderaan pacuan empat roda dari arah Lipis hendak ke Raub melanggar kereta mangsa dari arah tepi kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu pacuan empat roda melanggar lampu isyarat merah dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan