Anggota polis didakwa atas tuduhan membunuh Nur Farah Kartini

26/07/2024 12:07 PM

HULU SELANGOR, 26 Julai (Bernama) -- Seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini Abdullah yang mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit.

Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 26, yang bertugas di Perak didakwa membunuh Nur Farah Kartini, yang merupakan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di ladang kelapa sawit SKC Kledang, Hulu Bernam, antara 9 pagi 10 Julai hingga 6 petang pada 15 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza kerana kes melibatkan hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes seterusnya.

“Saya mohon tarikh sebutan seterusnya bagi menyerahkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan telekomunikasi,” katanya pada prosiding yang dipenuhi ahli keluarga tertuduh dan mangsa serta media.

Muhammad Alif diwakili peguam Aida Jaafar Mad Ariff dan Nur Aida Md Zainuddin.

Mahkamah menetapkan 30 Ogos untuk sebutan semula kes.

Sebelum prosiding bermula, seorang anggota polis memberi peringatan agar keluarga Muhammad Alif dan Nur Farah Kartini mengawal emosi semasa prosiding kes berlangsung.

Tertuduh yang memakai kemeja-T berwarna hitam tiba di mahkamah pada 9.05 minit dengan diiringi anggota polis.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai sebelum mayatnya dijumpai di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam di sini, kira-kira pukul 6 petang lima hari kemudian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan