Kronologi Kes Hilang Dan Bunuh Nur Farah Kartini

26/07/2024 02:23 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Kehilangan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, berakhir penuh tragis apabila mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Bernam, Selangor lima hari kemudian.

Mangsa merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) dengan Kepujian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak dan bekerja di bahagian pemasaran digital sebuah kedai percetakan di Perak. 

Berikut kronologi kes kehilangan dan pembunuhan Nur Farah Kartini yang berasal dari Miri, Sarawak:

 

11 Julai 2024 

- Polis mengesahkan terima laporan pada 1.56 pagi berhubung kehilangan Nur Farah Kartini selepas wanita terbabit menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di Taman Universiti, Tanjung Malim. 

- Nur Farah Kartini dilaporkan kali terakhir dilihat selepas menghantar kereta sewa kepada seorang wanita dipercayai pelanggan kira-kira 8 pagi pada 10 Julai lepas. 

- Mangsa kemudian didakwa menaiki sebuah kereta berwarna merah yang tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftarannya dan jenis kenderaan susulan cuaca dilaporkan hujan ketika itu.

- Gadis itu dipercayai kali terakhir mengenakan pakaian baju korporat berwarna biru, bertudung dan seluar slek berwarna hitam.

- Komunikasi terakhir mangsa ialah bersama seorang kakitangan bahagian pengurusan kedai percetakan terbabit pada 8.14 pagi (hari kejadian) dan mangsa tidak dapat lagi dihubungi selepas itu.

 

12 Julai 2024

- Menerusi laporan media, seorang kakitangan bahagian pengurusan kedai percetakan mula membuat hantaran menerusi media sosial dan merayu agar Nur Farah Kartini pulang.

- Rakan kepada Nur Farah Kartini mendakwa bahawa gadis itu tidak bekerja secara tetap bersama syarikat perkhidmatan kereta sewa, namun hanya membantu sesiapa yang mahu menyewa kereta bagi mendapat komisen. 

- Abang Nur Farah Kartini dipercayai menetap di Selangor dilaporkan pergi ke Tanjung Malim pada malam hari kejadian untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan lanjut mengenai kehilangan adiknya itu.

 

15 Julai 2024 

- Menurut laporan media, polis merakam percakapan tujuh individu berhubung kehilangan wanita berkenaan bagi membantu siasatan termasuk rakan sekerja mangsa serta wanita yang menyewa kereta pada hari kejadian. 

- Polis mengesahkan penemuan mayat seorang wanita dipercayai Nur Farah Kartini di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor kira-kira 6 petang dan mangsa dipercayai dibunuh individu dikenalinya.

- Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata hasil pemeriksaan awal mengesahkan mayat itu ialah mangsa yang dilaporkan hilang berkait laporan di Tanjung Malim. 

- Polis melaporkan telah menahan seorang penjawat awam lelaki berumur 26 tahun susulan kejadian itu, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

16 Julai 2024 

- Seorang penjawat awam yang ditahan bagi membantu siasatan susulan penemuan mayat Nur Farah Kartini tiba di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 8.48 pagi.

- Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Mohd Asri Mohd Yunus berkata suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan perintah reman dikeluarkan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu.

- Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan bahawa suspek dipercayai teman lelaki mangsa dan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal. 

- Suspek dibawa ke lokasi kejadian di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang pada 2.30 petang dan dilihat menunjukkan kawasan semak samun berhampiran anak sungai dipercayai lokasi sebenar mayat mangsa ditemukan, selama 15 minit. 

- Proses bedah siasat mayat Nur Farah Kartini dilaporkan selesai sepenuhnya pada 6.10 petang. 

 

17 Julai 2024 

- Tiga kenderaan pacuan empat roda Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor tiba di lokasi pembunuhan bagi menjalankan siasatan lanjut.

- Pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dilihat memasuki ladang sawit Kampung Sri Keledang pada 9.50 pagi bersama sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu.

- Pihak berkuasa melancarkan gerakan mencari bahan bukti seperti telefon bimbit, rantai dan beberapa barang lain milik mangsa di kawasan parit.

- Pada 12.21 tengah hari, sebuah telefon pintar dipercayai milik Nur Farah Kartini dijumpai di dalam parit oleh Pasukan Unit Skuba dan Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM), selepas kira-kira sejam operasi dijalankan.

- Pada masa sama, polis turut membawa suspek ke lokasi kejadian bagi menunjukkan kawasan di sekitar parit itu selama kira-kira lima minit.

- Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan polis sudah merakam percakapan 26 saksi termasuk rakan dan kawan sekerja mangsa serta saksi awam.

- Polis sahkan ladang sawit di Kampung Sri Kledang lokasi utama kes pembunuhan, selain memaklumkan terdapat masalah dari sudut visual untuk proses pengecaman mayat menyebabkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) perlu diambil daripada ibu dan adik-beradik mangsa.

- Abang mangsa Nur Farriza Amir Abdullah memaklumkan urusan tuntutan jenazah adiknya dijangka hanya dapat dilakukan selepas pengambilan sampel DNA ibunya di Hospital Kuala Kubu Bharu. 

- Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan beg tangan wanita dipercayai milik Nur Farah Kartini ditemukan dalam operasi pencarian bahan bukti yang dijalankan di Sungai Trolak di Kampung Batu 4, Slim River, Perak.  

 

18 Julai 2024

- Polis megesahkan keputusan hasil ujian sampel DNA yang diperoleh ialah milik Nur Farah Kartini.

- Jenazah Nur Farah Kartini dituntut keluarga dan dibawa keluar dari Hospital Sungai Buloh (HSB) menggunakan kenderaan milik UPSI dengan diiringi kereta polis jenis Honda Civic pada 2.05 petang.

- Jenazah disolatkan di Masjid As-Syakirin, Kampung Tanjung Selangor dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang.

 

19 Julai 2024

- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan kepada keluarga Allahyarham.

- Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim mengesahkan operasi pencarian bahan bukti bagi kes pembunuhan Nur Farah Kartini ditangguhkan akibat air Sungai Trolak di Kampung Batu 4 deras selain keruh ekoran hujan lebat.

 

20 Julai 2024

- Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Mohd Asri Mohd Yunus mengesahkan polis meneruskan operasi pencarian bahan bukti kes pembunuhan di sebuah kebun ubi di Kampung Klan Halt, Slim River yang sebelum ini dipercayai diusahakan suspek secara sambilan.

- Polis juga sedang menganalisis kad SIM suspek bagi mencari bukti baharu untuk membantu siasatan kes.

- Polis turut menganalisis kereta jenis Toyota Vios berwarna merah yang dirampas semasa suspek ditahan pada 15 Julai lepas. 

 

21 Julai 2024

- Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Mohd Asri Mohd Yunus mengesahkan keterangan beberapa pekerja sebuah kebun ubi di Slim River selesai diambil pada 20 Julai bagi membantu siasatan. 

 

22 Julai 2024

- Reman terhadap suspek dilanjutkan tujuh hari lagi bermula 23 hingga 29 Julai dengan perintah dikeluarkan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu. 

- Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik PDRM menemukan kunci kereta dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan Nur Farah Kartini ketika melakukan pencarian bahan bukti di Sungai Trolak Kampung Batu 4, Slim River. 

 

24 Julai 2024

- Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan usaha pencarian bahan bukti di lokasi kejadian dan beberapa lokasi lain yang berkaitan selesai. 

 

25 Julai 2024

- Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada 26 Julai mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

 

26 Julai 2024

- Suspek tiba di Mahkamah Kuala Kubu Bharu untuk pendakwaan kes.

- Suspek dilihat tiba di pekarangan mahkamah kira-kira 9 pagi dalam keadaan bergari tangan dan  berpakaian kemeja-T serta seluar bewarna hitam, dengan kawalan rapi anggota polis pengiring. 

- Lans Koperal Muhammad Alif Monjani didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas tuduhan membunuh Nur Farah Kartini kira-kira 10.20 pagi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan