Kastam Rampas 16 Kenderaan Mewah, Rokok Seludup Bernilai Lebih RM4.5 Juta

26/07/2024 05:23 PM

KUALA LUMPUR 26 Julai (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 16 kenderaan mewah dan 1.2 juta batang rokok seludup bernilai lebih RM4.5 juta dalam dua serbuan berbeza di ibu negara dan Pahang, baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata dalam serbuan terhadap sebuah gudang berlesen di Jalan Pahang, Setapak di sini pada 24 Jun lepas, pihaknya telah merampas kereta mewah berkenaan dipercayai disimpan melebihi tempoh dibenarkan iaitu 48 bulan.

“Pihak pengimport dipercayai gagal mengikrarkan kenderaan yang masih belum dibayar cukai kepada JKDM," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini. 

Beliau berkata cukai terhadap kenderaan import perlu dijelaskan dalam tempoh empat tahun sebaik sahaja kenderaan tiba di pelabuhan namun terdapat pihak yang gagal berbuat demikian dan terus menyimpan kenderaan itu di gudang berlesen. 

Kereta yang dirampas antaranya ialah Audi dan Mercedes-Benz dengan jumlah sitaan kenderaan dianggarkan bernilai RM1.2 juta manakala jumlah cukai dan duti import terlibat dianggarkan RM2.35 juta. 

Sementara itu, Norlela berkata pihaknya mematahkan kegiatan pengedaran rokok seludup dalam serbuan terhadap sebuah rumah teres di Taman Shahzan, Kuantan, Pahang pada 13 Julai.

“Rokok berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran menggunakan jalan tikus,” katanya menambah hasil rampasan termasuk cukai dianggarkan bernilai lebih RM970,000.

Beliau berkata kedua-dua kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu mengimport dan mengeksport barang tidak berkastam atau larangan import di bawah Seksyen 135 (1)(a).

Norlela meminta orang ramai membantu Jabatan Kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara daripada segi ketirisan hasil, tetapi juga turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan