Imigresen tahan 117 individu termasuk 85 GRO warga asing

27/07/2024 02:17 PM

PUTRAJAYA, 27 Julai (Bernama) -- Jabatan Imigresen menumpaskan dua sindiket pelacuran warga asing dengan menahan 117 individu termasuk 85 wanita warga asing dalam operasi khas yang dijalankan di tujuh lokasi di Seremban, Negeri Sembilan dan Seri Kembangan, Selangor pada Rabu dan Khamis lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata turut ditahan 10 lelaki warga tempatan berumur 27 hingga 63 tahun yang disyaki penjaga premis pusat pelacuran warga asing terbabit, selain 18 lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki Vietnam dan seorang lelaki warga Nepal berumur lingkungan 15 hingga 53 tahun.

Ruslin menerusi kenyataan berkata wanita warga asing yang ditahan dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) merangkumi 48 warga Vietnam, 34 wanita Indonesia dan tiga warga Bangladesh.

"Operasi bermula pada 12.32 tengah hari melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Pencegahan Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta Jabatan Imigresen Perak,” katanya.

Beliau berkata semua warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana tinggal lebih masa di negara ini dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

"Mereka ditahan di Depot Imigresen Lenggeng, Perak dan Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut. Sepuluh lelaki warganegara Malaysia ditahan di bawah Sesyen 56(1)(d) dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau berkata semua lelaki warganegara Malaysia dan dua lelaki warga Bangladesh telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan.

Ruslin berkata pihaknya turut merampas satu unit telefon bimbit, satu unit tablet, 23 pasport Vietnam, 12 pasport Indonesia, lima pasport Bangladesh, satu pasport Nepal dan wang tunai sebanyak RM7,055.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan