Cuba seludup 2,400 kg ikan bilis ke Filipina, tekong bot ditahan

27/07/2024 11:19 PM

SANDAKAN, 27 Julai (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan seorang tekong bot lelaki dan merampas 2,400 kilogram ikan bilis kering yang cuba diseludup keluar ke Taganak, Filipina melalui jalan laut di Pulau Berhala di sini pada Khamis lepas.  

Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata pasukan peronda maritim yang bertugas dalam Op Pluto Timur, Op Tiris serta Op Khas Cegah Pati mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 1.5 batu nautika utara Pulau Berhala pada 9.40 pagi.

"Pemeriksaan ke atas bot yang didaftarkan menggunakan lesen perikanan itu menemukan 30 guni berisi ikan bilis kering dipercayai untuk diseludup ke Filipina. Berikutan itu, tekong bot yang merupakan pemegang kad pengenalan pemastautin tetap berusia 57 tahun ditahan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata nilai rampasan termasuk ikan bilis dan bot berserta enjin sangkut dianggarkan lebih RM29,000 dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana cubaan menyeludup keluar ikan bilis serta kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana melanggar syarat sah lesen.

Muhamad Suhairy berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau salah laku di perairan negara diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau MERS 999 untuk tindakan segera.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan