Ahli Perniagaan Dipenjara 13 Tahun, Dua Sebatan Rogol Wanita Selepas Majlis Hari Jadi

29/07/2024 08:09 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini telah menjatuhi hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan ke atas seorang ahli perniagaan yang didapati bersalah merogol seorang wanita di sebuah hotel selepas sambutan ulang tahun kelahiran mangsa, empat tahun lepas.

Hakim Nor Hasniah Ab Razak menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohd Zulfahimin Mahdzir, 40, yang ketika itu pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia Muhammad Hilman Idham, selepas berpuas hati pembelaan tertuduh tidak mempunyai merit dan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Nor Hasniah, yang membuat keputusan itu pada 31 Mei lepas, berkata mahkamah berpendapat pihak pembelaan gagal mengemukakan apa-apa penjelasan untuk menyangkal keterangan saksi pendakwaan yang menyatakan mangsa mabuk pada malam kejadian.

“Mahkamah berpandangan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan keji kerana tertuduh telah mengambil kesempatan merogol mangsa semasa mangsa mabuk,” katanya dalam penghakiman bertulis bertarikh 25 Julai lepas yang diperoleh media hari ini.

Hakim itu berkata pembelaan Mohd Zulfahimin bahawa mangsa mengajak beliau menemaninya pada malam kejadian tidak boleh dikatakan secara automatik bahawa wanita tersebut rela mengadakan hubungan seks dengan tertuduh.

Oleh itu, Nor Hasniah berkata mahkamah mendapati keterangan tertuduh bahawa beliau tidak merogol mangsa adalah satu penafian semata-mata.

Mohd Zulfahimin didakwa merogol wanita itu antara 1 pagi hingga 3 pagi 5 Dis 2020 di sebuah bilik hotel di Sri Hartamas di sini mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.

Naratif kes pendakwaan menyatakan bahawa pada malam kejadian, mangsa dijemput oleh Muhammad Hilman untuk meraikan majlis ulang tahun kelahirannya bersama tiga rakan lain termasuk tertuduh yang merupakan pembantu beliau di restoran hotel berkenaan.

Kelima-lima individu serta seorang rakan lain kemudian berhibur di pusat karaoke di hotel berkenaan dan mangsa kemudian mabuk selepas mengambil minuman keras sehingga terpaksa dipapah ke bilik hotel yang didaftar atas nama tertuduh.

Semasa perbicaraan, pendakwaan memanggil 14 saksi manakala tertuduh saksi tunggal pembelaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas dan Fazeedah Faik manakala tertuduh diwakili peguam Chris Kooi Wei Kit dan Aivy Chin Ai Wei.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan