Pembantu Rumah Bukan Untuk Dijadikan Karung Tinju, Mahkamah Perintah Dua Wanita Bela Diri

30/07/2024 04:51 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Dua wanita diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas pertuduhan memperdagang seorang pembantu rumah warga Indonesia dan mengambil wanita itu bekerja tanpa permit sah, 10 tahun lepas.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap perunding Ong Su Ping Serene, 56, dan ahli perniagaan Sang Yoke Leng, 53, di akhir kes pendakwaan.

Wan Mohd Norisham dalam penghakimannya berkata terdapat keterangan menunjukkan mangsa telah dieksploitasi kedua-dua tertuduh dan juga melakukan kekerasan terhadap wanita berkenaan.

"Mahkamah mendapati mangsa bersetuju untuk bekerja sebagai pembantu rumah, tetapi bukan untuk dijadikan karung tinju," katanya.

Menurut Wan Mohd Norisham, tertuduh pertama (Ong) telah membawa mangsa pergi ke rumahnya untuk bekerja sebagai pembantu rumah dan mangsa dalam keterangannya menyatakan dia telah dipaksa untuk makan nasi dengan cili rebus, membuat senaman 'duduk dan berdiri' dalam keadaan bertelanjang, dilarang mandi dengan menutup pintu dan makan dalam mangkuk anjing selain dipukul dan diugut.

"Tertuduh kedua (Sang) melihat kekasaran yang dilakukan tertuduh pertama, namun dia tidak menghalang perbuatan itu sebaliknya turut memukul mangsa," katanya dan menambah mangsa juga tidak dibawa ke klinik bagi mendapatkan rawatan selain hanya diberikan air garam untuk berkumur.

Wan Mohd Norisham berkata mangsa yang juga saksi pendakwaan pertama dalam keterangannya menyatakan dia turut dikurung, diugut dan diancam kedua-dua tertuduh serta dilarang dan diberi amaran agar tidak berjumpa dan berbual dengan sesiapa bagi meminta pertolongan.

Beliau berkata terdapat keterangan daripada SP5 iaitu jiran tertuduh yang mendengar orang menangis pada waktu malam hingga awal pagi dan jiran tertuduh ada menerima nota kecil daripada mangsa memaklumkan dia tertekan dan telah diancam sebelum dapat diselamatkan pada 20 Dis 2014.

"SP5 dalam keterangannya menyatakan dia amat terkejut melihat muka mangsa bengkak," kata hakim itu dan menambah kecederaan pada mangsa turut disokong oleh keterangan SP10 iaitu saksi pakar yang menyatakan kecederaan pada mangsa adalah disebabkan dipukul dan ditendang serta mangsa mengalami kepatahan hidung dan cedera pada bibir.

Menurut Wan Mohd Norisham, mangsa diambil bekerja tanpa permit kerja sah dan adalah menjadi kesalahan menggaji warga asing sebagai pembantu rumah tanpa permit yang sah.

Wan Mohd Norisham berkata mahkamah mendapati mangsa bekerja dalam tempoh masa panjang tanpa rehat yang cukup, tidak pernah bercuti, tidak bebas bergerak dan sentiasa berada dalam ketakutan.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa memperdagangkan Meriance Kabu, yang ketika kejadian berusia 32 tahun bagi maksud eksplotasi dengan menggunakan kekerasan atau bentuk paksaan lain di sebuah rumah di Persiaran Pandan 7, Pandan Jaya di sini antara April 2014 hingga 20 Dis 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 13 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. 

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa mengambil pembantu rumah itu tanpa memiliki permit kerja sah pada tempat dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya.

Pada prosiding hari ini, mahkamah juga menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan kes. 

Sementara itu, mahkamah melepaskan dan membebaskan Ong daripada dua lagi pertuduhan mendatangkan cedera parah dan cubaan membunuh Meriance selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Wan Mohd Norisham ketika membuat keputusan itu berkata playar yang dinyatakan di dalam kertas pertuduhan tidak dikemukakan kepada mahkamah dan dakwaan mangsa diperlakukan sedemikian hanyalah berdasarkan keterangannya sendiri tanpa disokong keterangan saksi lain.

Ong didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Meriance dengan mencabut empat batang giginya menggunakan playar di lokasi sama antara 11 April dan 20 Dis 2014 dan dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Wanita itu juga didakwa cuba membunuh Meriance di tempat sama pada 6 petang pada 20 Dis tahun sama dan dituduh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anisah Pisol manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam S. Preakas.

Sebelum ini, kedua-dua tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) sebanyak dua kali pada 28 Julai dan 26 Okt 2017 berikutan saksi pendakwaan tidak hadir ke mahkamah. Bagaimanapun, mereka dituduh semula pada 6 Jan 2023 bagi menghadapi pertuduhan sama.

Ditemui pemberita selepas prosiding, Meriance, yang berasal dari Jawa Barat berkata dia tidak akan berhenti dan berputus asa sehingga keadilan dapat ditegakkan buat dirinya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan