Sebutan Semula Kes Lima Anggota Keluarga Suspek Serangan Balai Polis Ulu Tiram 2 Sept

31/07/2024 12:51 PM

JOHOR BAHRU, 31 Julai (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 2 Sept depan sebagai tarikh sebutan semula kes lima anggota keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengakibatkan dua polis maut dan seorang lagi cedera, atas pertuduhan berkaitan keganasan. 

Hakim Rasidah Roslee menetapkan tarikh itu setelah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya dari Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara Fazeedah Faik untuk melengkapkan dokumen laporan pakar keganasan sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

Mahkamah turut memerintahkan seorang daripada lima tertuduh, Mariah Radin Imran, 19, untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan di hospital berhampiran tanpa gagal dan perkara itu perlu diuruskan pihak Penjara Simpang Renggam, Kluang.

Terdahulu, peguam Faizal Rahman yang mewakili kelima-lima tertuduh memohon mahkamah membenarkan Mariah dirujuk ke hospital bagi pemeriksaan lanjut kerana disyaki mengalami gejala kemurungan ketika sesi pertemuan bersama kesemua anak guamnya di penjara, baru-baru ini. 

Pada 19 Jun lepas, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, Radin Romyullah Radin Imran, 34, Rosna Jantan, 59, Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan berkaitan keganasan. 

Radin Imran yang juga bapa suspek kejadian serangan pada 17 Mei lepas itu didakwa menggalakkan perbuatan pengganas dengan cara menanamkan fahaman ideologi keganasan yang berkait kumpulan pengganas Islamic State (IS) kepada isterinya, Rosna, dua anak lelakinya termasuk suspek yang berumur 21 tahun dan Radin Romyullah serta dua anak perempuannya, Farhah Sobrina dan Mariah.

Radin Imran juga didakwa dengan tiga lagi pertuduhan memberi sokongan kepada perbuatan pengganas dengan menyimpan empat pucuk senjata api jenis senapang angin (buatan sendiri) untuk menjalankan aktiviti IS; berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas berkenaan iaitu Abu Bakar Al-Baghdadi dan memiliki sebuah buku berkaitan IS.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram di sini antara hujung 2014 hingga 17 Mei lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun beserta denda; Seksyen 130J(1) Kanun Keseksaan iaitu penjara seumur hidup atau tidak lebih 40 tahun atau denda dan dirampas harta yang digunakan dan Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan iaitu penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda dan dilucutkan bahan dimiliki itu, jika sabit kesalahan. 

Sementara itu tertuduh kedua, Radin Romyullah yang juga abang suspek, didakwa dengan dua pertuduhan iaitu berbaiah kepada pemimpin kumpulan IS dan memiliki satu “external hard disc” yang mengandungi bahan berkaitan IS dan aktiviti kumpulan itu di lokasi yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara hujung 2014 hingga 17 Mei lepas mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak lebih 40 tahun beserta denda dan Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan. 

Rosna yang merupakan warga Singapura, Farhah Sobrina dan Mariah pula didakwa masing-masing atas satu pertuduhan iaitu dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat berkenaan kesalahan berkaitan ideologi keganasan.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama antara April 2017 hingga 17 Mei lepas mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi, 17 Mei lepas, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang suspek bertopeng dan bersenjatakan parang, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan