Kisah Inspirasi: Anak Wira Negara, Insp S. Baladevan Teruskan Legasi Bapa Di PDRM

31/07/2024 06:29 PM

Oleh Mohd Firdaus Saisi

PUTRAJAYA, 31 Julai (Bernama) -- Bagi Inspektor S. Baladevan, kisah pengorbanan mendiang bapanya, Detektif Kpl R.Sanghadevan, yang terkorban dalam tragedi berdarah di Bukit Jenalik, Sauk, Perak, pada tahun 2000 lepas adalah sumber inspirasi utama baginya untuk meneruskan legasi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Bapa adalah idola saya," kata pegawai polis berusia 44 tahun yang kini bertugas di Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, ketika ditanya mengapa beliau memilih untuk mengikuti jejak langkah mendiang bapanya menyertai Sang Saka Biru. 

Baladevan tidak dapat menahan emosinya dan terpaksa berhenti beberapa ketika sebelum meneruskan perbualan apabila mengenangkan bapanya.

"Minat untuk menyertai polis sudah ada sejak saya kecil. Selepas mengambil Sijil Pelajaran Malaysia, saya memberitahu bapa tentang hasrat saya untuk menyertai polis, tetapi dia nasihatkan saya supaya menyambung pelajaran terlebih dahulu sebelum menyertai pasukan.

"Bapa memberitahu saya supaya berusaha untuk meraih pangkat yang lebih tinggi daripada pangkat yang dimilikinya, dan dia menggalakkan saya untuk sambung belajar dahulu sebelum menyertai pasukan polis," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas sambutan Hari Pahlawan 2024 di Dataran Pahlawan di sini hari ini.

Baladevan, anak kedua daripada enam beradik menceritakan selepas tamat pengajian, beliau terus memutuskan untuk menyertai polis, dan keputusan itu mendapat sokongan penuh daripada ibunya, S. Malligarani.

Adik lelakinya turut menyertai pasukan polis, yang menyerlahkan lagi komitmen keluarga ini kepada perkhidmatan awam.

Mengimbas kembali kejadian yang menimpa bapanya 24 tahun lepas, Baladevan berkata ia berlaku ketika beliau baru mendaftarkan diri untuk melanjutkan pelajaran diploma dalam jurusan kejuruteraan mekanikal di Johor Bahru.

"Bapa bersama saya selama tiga minggu di sana untuk tujuan pendaftaran dan urusan lain. Kejadian ini berlaku selepas seminggu dia mula bertugas," katanya.

Beliau ketika itu sedang mengikuti kelas pengajian, apabila menerima panggilan telefon daripada pegawai polis yang meminta beliau pulang ke Kuala Kangsar dengan segera.

"Setibanya di rumah, barulah saya dapat tahu mengenai kejadian yang menimpa ayah saya. Melihat persembahan pantomin khas bertajuk ‘Op Subuh’ tadi, baru saya memahami dengan lebih jelas apa yang berlaku ketika itu," katanya.

Op Subuh, yang dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia dan PDRM, merupakan operasi khas untuk menyerbu pangkalan Al-Maunah yang berpusat di Sauk, Perak pada 2 Julai 2000.

Kumpulan itu merancang untuk menggulingkan kerajaan pada masa itu, dan operasi berkenaan telah berjaya menewaskan ketua kumpulan Al-Maunah, yang menyebabkan semua anggota kumpulan itu kemudiannya menyerah diri.

Namun tragedi di Bukit Jenalik telah meragut nyawa Sanghadevan, seorang anggota Cawangan Khas PDRM, serta seorang anggota komando Grup Gerak Khas ATM Truper Mathew Medan.

Sementara itu bapa mendiang Mathew, Medan Nunying, 84, menyatakan rasa bangga dengan pengorbanan anaknya.

"Melihat persembahan tadi, saya sangat sedih. Kita perlu bersama-sama mempertahankan negara ini daripada musuh. Kita semua rakyat Malaysia, ini negara kita," kata Medan Nunying.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan