Kes Seludup Migran: Mahkamah Rayuan Arah 3 Pegawai Imigresen Bela Diri

31/07/2024 09:41 PM

PUTRAJAYA, 31 Julai (Bernama) -- Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengarahkan tiga pegawai Imigresen termasuk seorang wanita membela diri terhadap pertuduhan menyeludup sembilan migran Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, tujuh tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Maizatul Azwa Mohamad Nasib, 31, Hairulnizam Hasim, 42 dan Zamir Hazwan Hamid, 41, daripada pertuduhan.

Ahmad Zaidi berkata pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Beliau kemudian mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk ketiga-tiga tertuduh membela diri.

Ahmad Zaidi, yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin, menetapkan 7 Ogos sebagai sebutan kes di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang baharu. 

Beliau berkata ini kerana hakim yang mendengar kes itu telah bersara.

Mahkamah Rayuan juga membebaskan ketiga-tiga tertuduh atas jaminan mulut RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu kes mereka disebut di Mahkamah Tinggi.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara panel itu, Ahmad Zaidi berkata pertuduhan terhadap kesemua tertuduh tidak cacat. 

Beliau berkata deposisi yang diperoleh daripada migran terbabit boleh diterima sebagai bukti kerana ia memenuhi keperluan Seksyen 61A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Ahmad Zaidi juga berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam mengguna pakai inferens advers di bawah Seksyen 114G Akta Keterangan 1950 terhadap pendakwaan kerana tidak memanggil enam penjaga migran untuk memberi keterangan.

Pada 27 Julai 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Yazid Mustafa membebaskan keempat-empat pegawai Imigresen yang berdepan pertuduhan menyeludup migran di KLIA antara 3 petang dan 10 malam 17 Julai 2017 dan antara 10 malam 18 Julai dan 8 pagi 19 Julai 2017.

Pendakwaan kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan menolak rayuan terhadap Haleem Izman Hairuddin, 39, selepas pendakwaan gagal menyerahkan notis kepadanya.

Haleen Izman telah didakwa menyeludup dua migran warga Bangladesh.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari hadir bagi pihak pendakwaan manakala ketiga-tiga pegawai Imigresen diwakili peguam Datuk Rajpal Singh.

--  BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan