Ketua Pengarah JLM Didakwa Tipu Berhubung Surat Pengecualian Minyak Gred Berat

01/08/2024 01:21 PM

SHAH ALAM, 1 Ogos (Bernama) -- Ketua Pengarah Laut Jabatan Laut Malaysia (JLM) Kapten Mohamad Halim Ahmed didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu berhubung surat pengecualian kepada syarikat perkapalan untuk membawa minyak gred berat di perairan negara tanpa kelulusan Menteri Pengangkutan, empat tahun lepas.

Mohamad Halim, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Halim yang ketika itu Setiausaha Bahagian Maritim, Kementerian Pengangkutan didakwa telah menipu Ketua Pengarah JLM pada masa itu Datuk Baharin Abdul Hamid dan memperdayakannya dengan mengemukakan Surat Kementerian Pengangkutan Malaysia bertarikh 27 Okt 2020.

Surat itu menyatakan “YB Menteri Pengangkutan pada 22 Oktober 2020 telah memutuskan supaya tempoh bagi syarikat-syarikat perkapalan yang telah diberikan pengecualian untuk membawa heavy grade oil di dalam perairan Malaysia perlu dikekalkan mengikut tarikh yang telah diluluskan” sedangkan tiada kelulusan sedemikian diberikan.

Perbuatan tertuduh menyebabkan Baharin telah mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat-syarikat perkapalan berkenaan yang beliau tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Laut, Jabatan Laut Malaysia, Jalan Limbungan, Pelabuhan Klang, di sini pada 27 Okt 2020 dan dituduh mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ahmad Feisal Mohd Azmi menawarkan jaminan antara RM50,000 hingga RM70,000 berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

"Tertuduh merupakan Ketua Pengarah Laut JLM dan ini merupakan kes kepentingan awam," kata Ahmad Feisal yang mengendalikan kes bersama TPR Muaz Ahmad Khairuddin.

Bagaimanapun, peguam Farhan Read yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM10,000 dengan mengambil kira tiada jumlah kerugian dinyatakan dalam pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.

"Anak guam saya mempunyai tiga anak dan seorang isteri, selain merupakan seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Laut di JLM dan tiada risiko untuk melarikan diri," kata Farhan. 

Ketika prosiding, Mohamad Halim memberitahu mahkamah bahawa beliau merupakan pemegang pasport rasmi kerajaan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM di Selangor serta dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Anita menetapkan 7 Okt untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan