Nahas Di Rompin: Pemandu Bas Didakwa Memandu Secara Melulu

01/08/2024 01:49 PM

ROMPIN, 1 Ogos (Bernama) -- Seorang pemandu bas persiaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kematian di KM126 Jalan Kuantan-Segamat pada 9 Jun lepas.

Zamry Pon, 50, yang hadir ke mahkamah dengan bertongkat dan berpelitup muka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Melody Woon Sze Mun.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 12.30 tengah malam dan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000, jika sabit kesalahan. 

Pada prosiding berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya Noor Asyikin Hashim menawarkan jaminan RM10,000.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Denial Khairul Hizam memohon wang jaminan dikurangkan kerana anak guamnya kini tidak bekerja berikutan masih dalam rawatan akibat kecederaan pada pinggang dan kaki selain perlu menanggung isteri, empat anak yang masih bersekolah termasuk seorang adik Orang Kurang Upaya (OKU).

Woon kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Ogos untuk serahan dokumen.

Dalam nahas 9 Jun lepas, empat maut, manakala 35 cedera selepas bas yang dalam perjalanan membawa rombongan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu untuk menghadiri suatu program terbabit dalam kemalangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan