Pegawai Kadet TLDM Kelihatan Letih, Tidak Sihat Namun Latihan Fizikal Diteruskan - Saksi

01/08/2024 11:35 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengaku bahawa beliau tidak bertanyakan keadaan kesihatan J. Soosaimanicckam meskipun melihatnya berada dalam keadaan letih dan tidak sihat beberapa jam sebelum pegawai kadet itu meninggal dunia.

Leftenan Nur Suhana Kasim Bakri, 37, defendan kelima dan Pegawai Latih Bertugas (PLB) di Pangkalan Tentera Laut KD Sultan Idris Lumut enam tahun lepas, membuat pengakuan itu ketika disoal oleh peguam Latheefa Koya di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Latheefa mewakili keluarga mendiang dalam kes saman yang difailkan oleh bapa mangsa, S. Joseph terhadap 11 individu termasuk pegawai TLDM, panglima TLDM, Majlis Angkatan Tentera Malaysia, Menteri Pertahanan dan Kerajaan Malaysia.

Nur Suhana berkata hasil pemantauannya juga mendapati Soosaimanicckam tidak dapat melaksanakan latihan fizikal dengan baik pada pagi 19 Mei 2018.

“Pada hari kejadian, kira-kira 60 pelatih menjalani latihan fizikal bersama Soosaimanicckam. Latihan fizikal itu dikendalikan oleh tiga jurulatih jasmani dan hanya jurulatih jasmani sahaja yang boleh memberikan arahan kepada pelatih.

“Saya juga nampak mangsa diasingkan daripada kumpulan pelatih. Sepanjang latihan fizikal yang bermula pada 8.30 pagi hingga 10 pagi, kesemua pelatih termasuk mangsa diarah melakukan joging sebanyak tiga pusingan diikuti senaman ringan seperti tekan tubi.

“Selepas itu, saya bersama-sama pelatih berjalan kira-kira 600 meter ke gim untuk mengukur Indeks Jisim Berat Badan. Kemudian saya mengarahkan mereka untuk melakukan aktiviti cucian di blok penginapan,” katanya.

Latheefa: Kamu ada bertanya kepada mangsa mengenai keadaan kesihatan? Sama ada dia sakit, demam ke? Nur Suhana menjawab “Tidak.”

Nur Suhana berkata selepas memberi arahan kepada pelatih untuk melakukan aktiviti cucian di blok penginapan, beliau telah ke Hospital Angkatan Tentera untuk melakukan pemantauan.

“Pelatih-Pelatih dipantau oleh enam pegawai lain. Saya berada di hospital berkenaan hingga 12.30 tengah hari. Selepas saya pulang dari hospital, saya dimaklumkan oleh Leftenan Ariff bahawa Soosaimanicckam perlu dibawa ke hospital kerana tidak sihat. Saya kemudian memberi arahan untuk membawa mangsa ke hospital.

“Ketika itu, saya nampak mangsa telah dipapah oleh pelatih-pelatih lain ke arah kereta. Dua pegawai mengikuti mangsa dalam kereta berkenaan dan saya juga pergi ke hospital dengan menaiki kereta saya. Dia dimasukkan ke wad kecemasan dan disahkan meninggal dunia pada 1.45 tengah hari,” katanya.

Beliau berkata kematian Soosaimanicckam dimaklumkan kepada pegawai atasan dan ahli keluarga mendiang sebelum mayat dihantar ke Hospital Manjung.

Menerusi saman yang difailkan pada 19 Mei 2021, keluarga Soosaimanicckam mendakwa kecuaian berlaku di pihak defendan kerana gagal memberi rawatan kecemasan apabila mangsa rebah pada hari kejadian dan cuai dalam memantau kesejahteraan serta kesihatannya semasa sesi latihan.

Pada Isnin lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan kematian Soosaimanicckam sebagai kes homisid dan punca kematian mangsa adalah akibat langsung daripada tindakan pegawai TLDM yang bertanggungjawab bagi latihan kadet menafikan rawatan perubatan kepadanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Idah Ismail bersambung 19 Ogos ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan