Tiada Laporan Polis Membabitkan Syarikat XFOX Setakat Ini

02/08/2024 02:35 PM

KUALA LUMPUR 2 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima sebarang aduan daripada orang awam mengenai penipuan pelaburan membabitkan syarikat XFOX Market Sdn Bhd yang dikenakan tindakan penguatkuasaan Selasa lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pihaknya mendapati tiada laporan polis dibuat berkaitan penipuan pelaburan tidak wujud membabitkan syarikat yang ditubuhkan sejak 2021 itu.

“Syarikat itu kini dalam siasatan  Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan kesalahan pengambilan deposit secara haram mengikut Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan (APK) 2013,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan pelbagai barangan mewah dan 92 akaun bank membabitkan nilai lebih RM30 juta milik syarikat pelaburan itu dirampas serta disita BNM menerus operasi ke atas 12 premis di sekitar Lembah Klang.

BNM dalam kenyataan media sebelum ini memaklumkan XFOX Market diambil tindakan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Seksyen 112 dan 113 Akta Cukai Pendapatan 1967 selain turut disiasat di bawah Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti HAram 2001.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan