Pegawai, Anggota Polis Cedera Ketika Berkas Penagih Dadah

02/08/2024 04:37 PM

IPOH, 2 Ogos (Bernama) -- Seorang pegawai dan anggota polis cedera akibat dilibas dengan parang sewaktu menjalankan pemeriksaan berkaitan penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Teluk Intan, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Hilir Perak telah menerima aduan pada 3 petang daripada seorang individu memaklumkan berkaitan penyalahgunaan dadah oleh seorang lelaki berusia 43 tahun di rumah berkenaan. 

Beliau bekata susulan itu, sepasukan polis telah ke rumah itu dengan dibantu Unit Kereta Peronda (MPV) pada 5.40 petang.

“Apabila tiba di rumah itu, suspek cuba menghalang pihak polis untuk masuk membuat pemeriksaan.

"Suspek bertindak di luar kawalan dan mengamuk menggunakan sebilah parang serta menyebabkan cermin pintu rumahnya pecah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizi berkata polis terpaksa bertindak memotong kunci mangga rumah berkenaan kerana suspek masih enggan memberikan kerjasama ketika dipujuk oleh pihak polis.

Beliau berkata semasa cuba menahan suspek, berlaku pergelutan antara suspek dan pihak polis sehingga mencederakan Inspektor Tie Ngie Sieng dan Koperal Detektif Mohd Rasyidi Che Ross manakala suspek turut cedera.

Hasil pemeriksaan di dalam rumah, katanya menemukan dadah jenis ganja dianggar seberat 84.75 gram (g) dan methamphetamine dianggar seberat 5.54 gram manakala saringan air kencing mendapati suspek positif terhadap methamphetamine.

“Inspektor Tie mengalami luka kecederaan sepanjang empat sentimeter di tangan kiri manakala Koperal Detektif Mohd Rasyidi mengalami luka dan putus urat pergelangan tangan kiri serta akan menjalani pembedahan.

“Suspek hanya mengalami kecederaan luaran. Ketiga-tiga mereka kini dirawat di hospital,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 39A(2), 39A(1) dan 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 326, 324 dan 186 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan