Polis tahan lima pekerja kontraktor disyaki curi kabel projek LRT3

02/08/2024 06:37 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan kumpulan pencuri kabel di tapak pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) membabitkan kerugian RM2.5 juta dengan penahanan lima lelaki termasuk seorang warganegara Pakistan di tiga tapak projek berkenaan, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kesemua mereka berusia antara 32 hingga 41 tahun itu ditahan dalam serbuan di tapak projek LRT 3 di Seksyen 2 dan Seksyen 14 di Shah Alam serta di Kayu Ara Damansara antara 6.30 petang hingga 9 malam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua lelaki terbabit ialah pekerja syarikat kontraktor yang dilantik bagi pembinaan LRT 3 yang mempunyai akses ke tapak pembinaan.

"Suspek akan mencuri kabel di tapak pembinaan dengan membawa keluar kabel tersebut menggunakan lori yang disewa khas. Kabel itu kemudian dipotong dan dijual ke kedai barang-barang lusuh sekitar Klang," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata kumpulan berkenaan bergerak aktif hampir setahun dengan mencuri kabel yang berfungsi sebagai pengalir arus elektrik ke bumi.

Beliau berkata sebanyak 15 laporan polis telah dibuat pemilik projek di Shah Alam dan Klang berhubung kecurian berkenaan.

Kesemua suspek ditahan di Lokap Berpusat Shah Alam dan kes disiasat mengikut Seksyen 431A dan 379 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan