Kastam Perlis sita empat kenderaan termasuk kereta mewah lebih RM1.6 juta

02/08/2024 06:43 PM

KANGAR, 2 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis menyita empat kenderaan termasuk sebuah kereta mewah yang dipercayai tidak berkastam dan berada melebihi tempoh 90 hari di Tanah Semenanjung bagi kereta yang didaftarkan di Pulau Bebas Cukai iaitu Langkawi, keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1,625,000.

Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata kenderaan yang disita dalam rampasan secara berasingan antara Jun dan Julai lepas di Kangar dan Kuala Perlis itu membabitkan cukai sebanyak RM2,239,475.

"Sitaan ini melibatkan dua kereta jenis Honda City manakala dua kereta masing-masing jenis Nissan Sylphy dan kereta mewah jenis Bentley Bentegya Speed. Sebuah kereta Honda City dan Nissan Sylphy bernombor pendaftaran Thailand didapati tamat tempoh Permit Pengedaran Antarabangsa.

"Sebuah lagi Honda City dan kereta mewah itu yang didaftarkan di Pulau Bebas Cukai didapati berada lebih 90 hari di Tanah Semenanjung,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata kes kereta tidak berkastam akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 manakala untuk kes berada melebihi 90 hari di Tanah Semenanjung disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) akta sama yang dibaca bersama Butiran 14, Bahagian 1, Jadual, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.

Ismail berkata Kastam turut merampas pelbagai jenis minuman keras disyaki tidak berkastam yang dianggarkan bernilai RM11,380.14 dan cukai RM4,978.41 ketika memeriksa sebuah kereta di Kuala Perlis pada 15 Julai lepas.

"Selain itu, Kastam merampas produk dagangan runcit yang tidak diikrar iaitu teh hijau bersusu, teh Thailand bersusu, gula kabung dan so fresh food yang dimuatkan dalam sebuah lori dengan jumlah berat 1,216 kilogram anggaran nilai RM18,320 serta melibatkan cukai sebanyak RM1,832 pada 1 Julai lepas," katanya.

Beliau berkata turut dirampas 116 kilogram minyak masak paket bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup keluar dan dijual di Kemboja bernilai RM290 di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan Padang Besar pada 24 Julai lepas.

"Hasil pemeriksaan mendapati beberapa bungkusan minyak masak pelbagai jenama disorok di dalam bagasi dan tong cat yang diletakkan di bahagian tempat duduk penumpang belakang serta bonet kenderaan. Kesemua bungkusan tertulis minyak masak untuk kegunaan domestik dalam negara sahaja,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan