Lori Rempuh Rumah: Seorang Lagi Meninggal Dunia

03/08/2024 07:22 PM

KUANTAN, 3 Ogos (Bernama) -- Seorang lagi maut dalam insiden sebuah lori merempuh rumah di KM5 Jalan Pekan-Rompin, dekat Kampung Ketapang Hilir, awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zain berkata Mohd Waldon Faris Nasruddin, 21, meninggal dunia kira-kira 1.30 tengah hari semasa dirawat di Hospital Pekan.

Beliau berkata kakak mangsa Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, yang juga petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat Maran sebelum ini dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 4.15 pagi ketika pemandu lori berusia 40 tahun dan membawa muatan siling kapur itu dalam perjalanan dari arah Johor Bahru, Johor menghala ke Kuantan.

"Ketika di tempat kejadian, lori itu dipercayai telah hilang kawalan di selekoh kiri dan terbabas ke laluan bertentangan kemudian merempuh sebuah rumah yang berada di sebelah kanan jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaidi berkata kemalangan itu turut mengakibatkan ibu bapa mangsa yang berusia 60 dan 54 tahun, seorang lagi penghuni rumah serta pemandu lori terbabit cedera ringan, kesemuanya kini dirawat di Hospital Pekan.

Beliau berkata saringan awal air kencing mendapati pemandu lori itu positif dadah jenis methamphetamine dan akan direman selepas selesai dirawat bagi siasatan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan