SPRM Tahan Tiga Individu Disyaki Terima Rasuah Sembunyikan Dokumen

03/08/2024 07:45 PM

PUTRAJAYA, 3 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu kerana disyaki menerima rasuah bagi menyembunyikan dokumen penting melibatkan syarikat industri minyak sawit, semalam.

Menurut sumber, dua lelaki dan seorang wanita berumur 40 hingga 50-an itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira 10 malam hingga 1 pagi ketika hadir memberi keterangan. 

Sumber berkata wanita yang bertugas sebagai pengurus akaun ditahan kerana disyaki terlibat dengan transaksi penerimaan rasuah.

"Dua lelaki yang merupakan setiausaha syarikat ditahan kerana disyaki menerima rasuah bagi menyembunyikan beberapa dokumen penting berkaitan Call Option Agreement (COA).

“Dokumen ini dipercayai disembunyikan oleh setiausaha syarikat untuk melambatkan pihak kedua daripada melaksanakan perjanjian COA yang telah ditandatangani pada Mac 2021 dan melengahkan penghakiman kes saman sivil yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada Oktober 2022," katanya.

Menurut sumber, wanita berkenaan kini direman selama tiga hari hingga Isnin, manakala dua lelaki direman selama lima hari hingga Rabu depan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Norainina Shariful Anuar setelah permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini. 

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan