Lapor Segera Sekiranya Ada Maklumat Ajaran Menyelewang - Exco Johor

03/08/2024 11:19 PM

BATU PAHAT, 3 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Johor menyeru orang ramai supaya melaporkan segera sekiranya mempunyai maklumat berkaitan ajaran yang menyeleweng serta melanggar hukum agama.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata pihaknya akan mengambil tindakan penguatkuasaan selain mempergiat pemantauan bagi memastikan kesucian agama Islam terpelihara.

“Nasihat kami kepada orang ramai, jauhi semua ajaran yang telah difatwakan sesat dan mohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan dengan segera kepada pejabat agama dan polis.

“Hal ini bagi memastikan setiap ajaran yang sesat dan menyeleweng daripada Ahli Sunah Waljamaah tidak terus aktif di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Kursus Modul Hafazan Tadika Tahfiz Negeri Pahang Kepada Pendidik Masyarakat Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Peringkat Negeri Johor 2024 di sini hari ini.

Julai lepas, Mohd Fared dilaporkan berkata kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Negeri Johor memantau rapat lima daripada 19 ajaran sesat yang telah difatwakan haram di negeri ini.

Beliau berkata lima ajaran sesat berkenaan iaitu Syiah, Hizbur Tahrir, ajaran Millah Abraham, ajaran Suhaini Mohammad (Sihulk) dan ajaran Qadiani dipercayai masih aktif namun terkawal.

Mengenai kursus itu, beliau berkata ia melibatkan 542 pendidik Tabika Kemas negeri ini yang berteraskan modul hafazan tahfiz Pahang. 

“Selepas ini anak-anak berusia empat hingga enam tahun akan didedahkan kepada hafazan ayat-ayat al-Quran, khususnya pada juzuk ke-30,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan