Pemandu Treler Rempuh Rumah Direman Empat Hari

04/08/2024 12:06 PM

PEKAN, 4 Ogos (Bernama) -- Pemandu treler yang merempuh sebuah rumah sehingga menyebabkan  dua beradik maut di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir, semalam direman selama empat hari.

Perintah reman ke atas pemandu berusia 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Melody Woon Sze Mun hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, pemandu treler itu yang memakai baju lokap berwarna oren tiba di mahkamah kira-kira 9.45 pagi diiringi polis.

Dalam kejadian kira-kira 4.15 pagi itu, treler membawa muatan siling kapur dari arah Johor Bahru, Johor menghala ke Kuantan dipercayai hilang kawalan di selekoh kiri dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah rumah yang berada di sebelah kanan jalan.

Tragedi itu menyebabkan Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya Mohd Waldon Faris, 21, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.

Ibu bapa mangsa Norrulaini Mohd Hassan, 54, dan Nasruddin Othman, 60, serta rakan Mohd Waldon Faris, Muhammad Gabriel Miqhael Muhammad Faidzal, 19, yang turut berada dalam rumah berkenaan mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Pekan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan