Polis Kesan Lelaki Bawa Senjata Tajam Ke Perlawanan Bola Sepak

05/08/2024 12:39 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Polis sedang mengesan seorang lelaki disyaki membawa senjata tajam ke dalam padang ketika berlaku perselisihan faham dalam satu perlawanan bola sepak di Pusat Bola Sepak KLFA di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 2.21 pagi tadi daripada seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun.

Beliau berkata pengadu mendakwa berlaku perselisihan faham antara pasukannya dengan pasukan lawan sebelum seorang pemain dari pihak lawan membawa masuk senjata tajam ke dalam padang dan mengacukan kepada salah seorang pemain pasukannya.

“Tiada pemain bola sepak daripada kedua-dua pasukan cedera dalam kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular beberapa gambar di media sosial menunjukkan seorang pemain bola sepak difahamkan daripada liga sosial memegang senjata tajam disyaki kerambit ketika berlaku perselisihan faham di dalam padang.

Terdapat juga beberapa gambar menunjukkan lelaki terbabit memegang senjata di kedua-dua belah tangannya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan