Lelaki Maut Kereta Dipandu Langgar Treler

05/08/2024 05:26 PM

GEORGE TOWN, 5 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki maut selepas kereta Proton X50 yang dipandunya melanggar sebuah treler sebelum terbabas dan merempuh penghadang jalan di Kilometer 18.2 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, dekat sini, kira-kira 6 pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata mangsa dikenali sebagai M.Guna, 29, yang bekerja sebagai pegawal keselamatan, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika mangsa memandu sendirian dari arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta itu telah melanggar belakang sebuah lori treler yang berada di laluan sama sebelum terbabas sehingga berpusing dan ternaik ke atas penghadang jalan di sebelah kiri.

"Pemandu lori berusia 66 tahun itu meneruskan perjalanan kerana tidak sedar kenderaannya telah dilanggar dan menyangka bunyi kuat di belakang lori trelernya disebabkan tayar lori pecah, sebelum berhenti di stesen minyak berhampiran untuk memeriksa dan mendapati terdapat kesan langgar. Lelaki itu membuat laporan polis berhubung perkara tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kamarul Rizal berkata mangsa yang tersepit dalam kenderaannya berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. 

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat dan sampel darah pemandu (treler) itu dihantar ke Jabatan Kimia bagi ujian alkohol serta dadah," katanya.

Beliau berkata polis sedang mengesan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan