Polis Tahan Tiga Lelaki, Selesai 13 Kes Curi Kabel

05/08/2024 09:31 PM

NIBONG TEBAL, 5 Ogos (Bernama) -- Polis percaya dapat menyelesaikan 13 kes kecurian kabel di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS) susulan penangkapan tiga lelaki tempatan di Jalan Bukit Panchor di sini semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata pada kira-kira 4.25 pagi sepasukan polis dari Balai Polis Nibong Tebal yang sedang bertugas terserempak dengan sebuah kereta Mitsubishi Triton yang  dalam keadaan mencurigakan. 

“Polis kemudian menghampiri kenderaan yang dinaiki tiga lelaki itu dan menahan kenderaan berkenaan untuk diperiksa. Hasil pemeriksaan menjumpai pelbagai jenis peralatan disyaki digunakan dalam kegiatan mencuri kabel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah berkata semakan terhadap ketiga-tiga suspek berusia 31 dan 33 tahun mendapati masing-masing mempunyai sembilan, 22 dan empat rekod lampau atas kesalahan jenayah serta dadah. 

Beliau berkata dengan penangkapan itu, polis percaya dapat menyelesaikan 10 kes kecurian kabel di daerah SPU dan tiga di SPS.

Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan kesemua suspek kini direman dua hari hingga Rabu bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan