Polis Rampas Dadah Bernilai Hampir RM900,000 Disorok Di Apartmen

07/08/2024 02:09 PM

BATU PAHAT, 7 Ogos (Bernama) -- Polis merampas dadah berjumlah RM895,662 di sebuah apartmen di Batu Pahat yang dijadikan stor serta pusat pembungkusan sebelum diedarkan ke seluruh Johor.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata hasil risikan hampir sebulan telah membawa kepada serbuan yang dilakukan pada Khamis lepas serta penangkapan tujuh suspek.

Beliau berkata suspek yang ditahan terdiri daripada empat lelaki tempatan berumur antara 21 hingga 38 tahun dan tiga wanita warganegara Thailand serta Vietnam yang berumur lingkungan 24 hingga 25 tahun.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua tangkapan positif dadah jenis methamphetamine dan mendapati masing-masing tiada rekod kesalahan lampau, baik melibatkan dadah atau jenayah.

“Antara dadah yang berjaya dirampas terdiri daripada serbuk ekstasi seberat 5,219.71 gram (g); 65 biji pil ekstasi (23.17 g); 56 pil Eramin 5 dan 96.46 g ketamin,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini hari ini.

Shahrulanuar berkata selain menjadikan rumah berkenaan sebagai stor dan pusat pembungkusan, sindiket ini turut mengedar dadah secara bersemuka dengan dadah dihantar kepada pelanggan yang telah membuat pesanan awal. 

Beliau berkata hasil siasatan mendapati sindiket ini mula bergiat aktif sejak awal Julai dan jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan hingga 19,000 penagih.

“Turut dirampas bersama suspek ialah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah motosikal serta wang tunai berjumlah RM2,380 dengan jumlah sitaan ialah RM92,730.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan pula sebanyak RM988,392. Kesemua suspek ditahan reman bermula Jumaat hingga esok (8 Ogos) dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan