Pengembala Kambing Mengaku Tidak Bersalah Tangkap, Simpan Harimau Kumbang

07/08/2024 02:26 PM

SEREMBAN, 7 Ogos (Bernama) -- Seorang pengembala kambing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menangkap dan menyimpan seekor harimau kumbang, Mac lepas.

Orang Kena Saman (OKS), Mohd Firdaus Mohd Lani, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didapati menyimpan seekor harimau kumbang (Panthera pardus) di dalam sangkar kecil yang menyebabkan kesakitan terhadap hidupan liar tersebut di sebuah kebun getah, di Batu Kikir, Kuala Pilah, kira-kira 4 petang, 27 Mac lepas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bawah Seksyen 86(1)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 86(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 [Akta A1646].

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM100,00, atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Firdaus didapati menangkap seekor harimau kumbang untuk melindungi haiwan ternakan dan, dengan kelengahan, gagal melaporkan kejadian itu kepada Pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia pada tempat, masa dan tarikh yang sama.

Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 54(3) Akta 716 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 54(4) Akta A1646 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Perhilitan Gilmoore Bolongon memohon mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, serta tertuduh perlu melapor diri ke balai polis terdekat setiap bulan. 

Mohd Firdaus yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan dikurangkan atas alasan pendapatannya yang rendah sekitar RM1,000 sebulan selain menanggung tiga anak yang masih bersekolah. 

Mohamad Kamil kemudian menetapkan jaminan RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan dan tidak mengganggu aksi.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Sept ini.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan