Mahkamah Rayuan Putuskan Kes Culik Lelaki Palestin Didengar Di Mahkamah Tinggi

07/08/2024 02:32 PM

PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Rayuan di sini hari ini memutuskan bahawa prosiding kes culik warga Palestin membabitkan 13 individu bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit, akan didengar di Mahkamah Tinggi dan bukannya di Mahkamah Sesyen. 

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Tetralina Ahmed Fauzi, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen. 

“Ini adalah keputusan sebulat suara kami. Menurut Perkara 145 Akta Perlembagaan, Timbalan Pendakwa Raya mempunyai kuasa menjalankan prosiding bagi sesuatu kesalahan, kecuali prosiding di hadapan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tentera, mengikut budi bicara mereka.

“Dengan peruntukan tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, dengan budi bicaranya boleh meneruskan kes ini di Mahkamah Tinggi. Selain itu, di bawah Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah, Timbalan Pendakwa Raya mendakwa tiada sebab untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen.

“Oleh itu, rayuan Timbalan Pendakwa Raya dibenarkan dan kes ini akan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi. Mahkamah juga menetapkan 14 Ogos untuk sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi,” kata hakim itu yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Pada Oktober 2022, 12 lelaki dan seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan secara niat bersama menahan Omar Z. M. Albelbaisy Raeda, 31, untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Mereka ialah Edy Ko’im Said, 42, Mohamad Norakmal Hassan, 43, Dody Junaidi, 44, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 41, Mohamad Naziree Mustapha, 41, Faizull Hardey Mohd Isa, 42, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 27, Mohamad Sufian Saly, 25, Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 23, Nidarahayu Zainal, 36, dan Raibafie Amdan, 41, Mohd Zaidi Mohd Zain, 56, dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 51.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang di ibu kota, pada 10.40 malam, 28 Sept 2022, mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh dan kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kerana kes culik di bawah bidang kuasa mahkamah berkenaan.

Bagaimanapun, semasa prosiding kes di Mahkamah Tinggi, Hakim K.Muniandy mengarahkan pihak  Timbalan Pendakwa Raya dan pembelaan mengemukakan hujahan sama ada kes berkenaan perlu didengar di Mahkamah Tinggi atau di Mahkamah Sesyen susulan pelaksanaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846).

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, pada Disember lepas, Hakim Muniandy memutuskan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen. 

Pertuduhan terhadap kesemua tertuduh dibacakan semula di Mahkamah Sesyen pada 19 Jan lepas dan kesemua mereka mengaku tidak bersalah. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan