Polis Belum Terima Laporan Penuh Bedah Siasat Nur Farah Kartini

07/08/2024 02:43 PM

PETALING JAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Polis masih belum menerima laporan analisis lengkap keputusan bedah siasat tentang punca kematian bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang dibunuh bulan lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata hingga kini, pihaknya masih menunggu Hospital Sungai Buloh untuk mengeluarkan laporan lengkap tentang perkara itu.

"Kita belum terima (laporan bedah siasat) daripada pihak hospital," katanya ringkas pada sidang media pelupusan barangan kes di Balai Polis Ara Damansara di sini hari ini, ketika diminta mengulas tentang perkembangan kes berkenaan.

Nur Farah Kartini, 25, sebelum ini dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Selangor kira-kira pukul 6 petang, lima hari selepas itu.

Pada 26 Julai, suspek kes berkenaan iaitu seorang anggota polis yang bertugas di Balai Polis Slim River, Perak Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 26, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas pertuduhan membunuh wanita itu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan