Budak Pandu Kereta: Warga Pakistan Dituduh Dedah Anak Kepada Kecederaan

07/08/2024 02:56 PM

SEPANG, 7 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki warga Pakistan iaitu bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang memandu kereta Perodua Viva, berdepan pertuduhan mengabaikan dan gagal mengawasi anaknya yang dikhuatiri membawa kepada kecederaan fizikal.

Pemegang kad pemastautin tetap (MyPR) itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Putra Impiana, Puchong, pada 7.30 petang, 28 Julai lepas, di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahin Sasaruddin, manakala tertuduh diwakili peguam Nabilla Rosli.

Baru-baru ini tular video berdurasi satu minit 49 saat memaparkan seorang wanita menahan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang remaja lelaki dan turut dinaiki dua kanak-kanak.

Menerusi rakaman itu, kelihatan kereta terbabit dipandu agak laju ketika melalui bonggol di depan sebuah rumah sebelum diarah oleh wanita berkenaan supaya memberhentikan kenderaan.

Semasa prosiding, Nurul Farahin memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM15,000, bagaimanapun Nabilla memohon agar mahkamah mempertimbangkan jumlah itu kerana hanya tertuduh seorang bekerja untuk menyara isteri serta lima anak yang masih bersekolah.

“Cadangan jaminan terlalu tinggi dan di luar batas kemampuan tertuduh yang hanya berniaga karpet dengan pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan,” katanya.

Hakim Ahmad Fuad membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Sept ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan