Graduan Bidang Penguatkuasaan Undang-undang Punya Kelebihan Sertai PDRM, ATM

07/08/2024 03:23 PM

KAJANG, 7 Ogos (Bernama) -- Graduan bidang berkaitan penguatkuasaan undang-undang mempunyai kelebihan sekiranya berhasrat menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau agensi penguatkuasaan lain.

Ketua Lesen Pasukan Urus Setia Ketua Polis Negara (Lesen Senjata Api) Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata ini kerana graduan itu telah memiliki pengetahuan asas dalam bidang penguatkuasaan undang-undang, sekali gus mengurangkan keperluan untuk latihan asas tambahan oleh agensi terlibat.

“Kita tidak perlu ajar mereka sebab mereka ada asas yang kukuh. Apabila bekerja, mereka boleh digilap dengan lebih baik dan lebih senang supaya menjadi lebih kompeten ketika bertugas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Perkasa Ijazah Sarjana Muda Penguatkuasaan Undang-undang (Kepujian) Kolej Universiti Inovatif dengan Latihan Menembak Pertama di Malaysia di Kelab Menembak Bandar Kajang di sini hari ini. 

Dzulkhairi turut menghargai usaha Kolej Universiti Inovatif dalam memperkenalkan ijazah sarjana muda itu demi melahirkan kadet elit dalam program penguatkuasaan undang-undang di Malaysia.

Sementara itu, Naib Canselor Kolej Universiti Inovatif Prof Emeritus Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata program ijazah sarjana muda itu, yang pertama seumpamanya akan bermula September ini.

Beliau berkata sebelum ini, program pengajian itu hanya ditawarkan di peringkat diploma oleh beberapa institusi pengajian tinggi (IPT).

“Ini bagi melengkapkan keperluan modal insan dalam bidang penguatkuasaan undang-undang. Pasaran bagi bidang penguatkuasaan ini sangat luas.

“Jadi, ini merupakan usaha kreatif Kolej Universiti Inovatif dalam memperkenalkan program ini supaya graduan boleh dipersiapkan, spesifik bagi menyertai pelbagai pasukan penguatkuasaan yang ada termasuk pihak berkuasa tempatan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan