Adik Pinjam Along, Keluarga Tanggung Akibat

07/08/2024 04:19 PM

IPOH, 7 Ogos (Bernama) -- Dua beradik hidup dalam ketakutan gara-gara perbuatan adik lelaki mereka yang gagal melangsaikan hutang yang dipinjam daripada ceti haram atau along sejak beberapa tahun lepas.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 37, mendakwa rumah yang turut didiami bersama bapa mereka berusia 76 tahun dibaling bom petrol pada 27 Julai lepas sehingga menyebabkan sebuah van jenis Nissan serta dinding rumah jiran yang tinggal bersebelahan kediaman mereka turut mengalami kerosakan.

Dia mendakwa dua rumah jiran mereka turut terkena tempias apabila disimbah cat merah pada Jun lepas dan along turut melekatkan sekeping kertas di pagar rumah jiran tertera nama adik lelakinya yang membuat pinjaman terbabit.

Lee mendakwa adik lelakinya berumur 34 tahun itu dipercayai bekerja di Singapura, gagal dihubungi sejak November 2022.

"Kami sekeluarga tidak tahu mengenai jumlah wang dan pinjaman yang dibuat adik lelaki saya. Kami hidup dalam ketakutan dan bimbang dengan keselamatan akibat diganggu along," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Gopeng di sini hari ini.

Lee berkata mereka sekeluarga ada membantu melangsaikan hutang adik lelakinya sebelum ini dengan membayar sejumlah wang tunai kepada along terbabit dan beranggapan tidak diganggu, namun jangkaannya itu meleset.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai Wong Chai Yi berkata pihaknya berharap orang ramai tidak terbabit dengan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen atau along kerana tindakan sedemikian membebankan diri sendiri serta boleh mengancam nyawa termasuk orang sekeliling.

"Sekiranya diganggu atau diugut along perlu segera laporkan kepada pihak berkuasa dengan memberi segala maklumat supaya memudahkan pihak polis membuat tangkapan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan