Permohonan Mohd Azizi Untuk Hentikan PRK Nenggiri Bersifat Akademik

07/08/2024 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa permohonan injunksi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim untuk menghentikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi itu adalah bersifat akademik.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, yang mewakili SPR, berkata ini kerana suruhanjaya itu telah mengarahkan agar pilihan raya kecil diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

“SPR telah mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon bagi kerusi Nenggiri pada 3 Ogos dan hari pengundian pada 17 Ogos,” katanya sambil menambah SPR adalah sebuah institusi yang ditubuhkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan diamanahkan untuk mengadakan pilihan raya di negara ini dan tidak seharusnya dihalang daripada menjalankan fungsinya.

Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, yang mewakili Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, pula berkata anak guamnya hanya menjalankan tugas mengikut Perkara 31A Perlembagaan Kelantan mengenai pemakluman kekosongan kerusi Nenggiri. 

“Permohonan Mohd Azizi telah diatasi oleh peristiwa semasa. Ia seperti memutar kembali roda masa. Ia bukan sesuatu yang harus kita lakukan,” katanya sambil menambah bahawa permohonan itu harus ditolak oleh mahkamah.

Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam, yang mewakili Mohd Azizi, berkata anak guamnya masih ahli Bersatu dan tidak berhasrat menjadi calon kerana perkara tersebut akan menjejaskan saman beliau terhadap parti itu.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menetapkan 12 Ogos ini untuk keputusan.

Mohd Azizi,selaku plaintif, memfailkan saman pemula pada 24 Jun lepas dan menamakan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung parti itu Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Mohd Amar dan SPR sebagai defendan. 

Menerusi saman pemula itu, Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang ketika itu, memohon deklarasi bahawa pilihan raya kecil bagi DUN Nenggiri tidak boleh diadakan atau dikendali oleh SPR kerana ia masih dipegang oleh beliau.

Beliau turut memohon deklarasi mahkamah bahawa pemecatannya daripada Bersatu melalui notis bertarikh 12 Jun lepas adalah tidak sah, bahawa notis itu sendiri tidak sah dan bahawa pemecatannya dibuat dengan niat jahat.

Mohd Azizi berkata pindaan terhadap Perkara 10 Perlembagaan Bersatu yang menyatakan bahawa keanggotaan akan ditamatkan jika ahli terbabit menyokong parti lawan adalah tidak berperlembagaan.

Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi sementara yang difailkan oleh Mohd Azizi bagi menghentikan SPR daripada mengadakan pilihan raya kecil bagi DUN itu selepas memutuskan bahawa beliau tidak mengalami sebarang kerosakan kerana masih boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan