Suspek kes culik Albertine Leo didakwa di Mahkamah Johor Bahru dan Kulai esok

07/08/2024 10:55 PM

JOHOR BAHRU, 7 Ogos (Bernama) -- Suspek kes penculikan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui, di Eco Galleria, Iskandar Puteri pada 20 Julai lepas, akan didakwa di Kompleks Mahkamah Johor Bahru dan Mahkamah Majistret Kulai esok.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata lelaki berusia 31 tahun itu akan menghadapi 15 pertuduhan selepas dua kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan pertuduhan.

“Suspek akan menghadapi masing-masing satu pertuduhan mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 346 Kanun Keseksaan, tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan, empat pertuduhan mengikut Seksyen 8(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, satu pertuduhan mengikut Seksyen 10 akta sama dan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 15(a)(ii) akta itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lelaki tersebut ditahan pada 4.45 pagi, 23 Julai lepas, di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor, bersama kanak-kanak perempuan berkenaan.

Ahad lepas, suspek dilepaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya selama 13 hari tamat, namun dia ditahan semula pada hari sama susulan penemuan pelbagai alat mainan seks, bahan pornografi dewasa dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak di kediamannya di Kulai.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan