AGC Akan Mohon Perintah Kerajaan Pindah Milik Tanah Kepada Semantan Estate Digantung

08/08/2024 12:00 AM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan permohonan bagi menggantung pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan kerajaan memindah milik tanah seluas 263.272 ekar (106.542 hektar) di Mukim Batu di sini kepada Semantan Estate Sdn Bhd (SESB).

Kenyataan AGC malam ini memaklumkan jabatan itu bagi pihak Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan juga akan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu.

“SESB telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan memindah milik tanah seluas 263.272 ekar di Mukim Batu, Daerah Kuala Lumpur  kepada syarikat itu di bawah Seksyen 417 Kanun Tanah Negara 1965.

“Pada hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan supaya tanah tersebut dipindah milik kepada SESB,” menurut kenyataan itu.

 Tanah terbabit, yang terletak di lokasi utama Jalan Duta menempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membenarkan saman pemula Semantan Estate selepas mendengar hujah kedua-dua pihak hari ini.

 Mahkamah juga menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu cadangan penyelesaian oleh kerajaan berhubung pertikaian tanah berkenaan.

“Mahkamah memerintahkan defendan (Pendaftar Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) untuk melaksanakan syarat yang diminta dalam tempoh tiga bulan bermula hari ini,” katanya yang turut memerintahkan kerajaan agar membayar kos sebanyak RM50,000.

Beliau memerintahkan defendan agar mendaftarkan plaintif (Semantan Estate) sebagai pemilik tanah, melaksanakan semua surat cara pindah milik serta mengeluarkan dokumen hak milik tanah tanpa bebanan dan liabiliti atas nama plaintif.

Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 263.27 ekar itu yang telah diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.

Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan namun ditolak pada 18 Mei 2012 dan pada 21 Nov 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan bagi kebenaran merayu keputusan itu.

Pada 2018, Mahkamah Persekutuan sekali lagi menolak permohonan kerajaan untuk menyemak semula keputusannya sebelum ini.

Semantan Estate memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009.

Kerajaan juga telah mencadangkan penyelesaian berhubung pertikaian tanah itu.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan