Polis Tahan Empat Lelaki Cubaan Samun Juruteknik Di Depan Stesen Minyak

08/08/2024 09:02 AM

SHAH ALAM, 8 Ogos (Bernama) -- Polis menahan empat lelaki warga tempatan disyaki terbabit cubaan samun bersenjatakan kayu di depan sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Subang Jaya, awal pagi semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata keempat-empat suspek berusia 30 hingga 41 tahun itu ditahan di sekitar Shah Alam dan Klang pada kira-kira 5.30 petang semalam oleh Bahagian Siasatan Khas D9, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

“Keempat-empat suspek ini mempunyai rekod lampau dalam kes jenayah dan narkotik. Kesemua suspek akan direman hari ini di Mahkamah Shah Alam bagi siasatan lanjut.

“Polis percaya kesemua suspek ini adalah individu yang terlibat seperti laporan yang dibuat oleh pengadu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hussein berkata bahawa semasa tangkapan tersebut, sebuah kereta, motosikal, serta enam telefon bimbit turut dirampas.

Semalam, Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat dilaporkan berkata pihaknya sedang memburu empat lelaki disyaki terbabit dalam cubaan samun tersebut dan telah menerima laporan daripada mangsa berusia 37 tahun yang bekerja sebagai juruteknik, pada 1.37 pagi mengenai kejadian itu.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video berdurasi 46 saat yang dirakam oleh kamera papan pemuka kenderaan mangsa memaparkan sebuah kereta dan motosikal menghalang kenderaan mangsa, diikuti beberapa lelaki menyerang mangsa menggunakan kayu sebelum mangsa berjaya melarikan diri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan