Bekas Pekerja Syarikat Pemaju Perumahan Didakwa Terima Rasuah RM3,500

08/08/2024 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Seorang bekas pekerja syarikat pemaju perumahan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan menerima rasuah RM3,500 bagi membantu mempercepatkan proses tuntutan bayaran berhubung kerja-kerja perkhidmatan kawalan keselamatan di tapak projek sebuah kondominium, lima tahun lepas.

Bagi ketujuh-tujuh pertuduhan, R. Malliga, 42, didakwa menerima rasuah bagi dirinya iaitu wang berjumlah RM3,500 daripada wakil syarikat Angkasa Security Services Sdn Bhd M. Loganathan, 39, melalui akaun bank milik tertuduh dan suaminya, sebagai dorongan untuk mempercepatkan proses tuntutan bayaran syarikat berkenaan berkaitan kerja-kerja perkhidmatan kawalan keselamatan di tapak projek sebuah kondominium.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Klang Lama di sini antara 26 Nov 2019 dan 2 Sept 2020.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Shaharuzaman mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Wanita itu yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas alasan dia tidak bekerja dan segala perbelanjaan diuruskan oleh suaminya yang bekerja sebagai juruteknik, berpendapatan RM2,700 sebulan.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.  Tarikh 12 Sept ini ditetapkan untuk sebutan kes dan lantikan peguam. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan