Peniaga Didakwa Tawar Suapan RM200,000 Kepada Inspektor Polis Mengaku Tidak Bersalah

08/08/2024 01:49 PM

KANGAR, 8 Ogos (Bernama) -- Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menawarkan suapan berjumlah RM200,000 kepada seorang inspektor polis pada bulan Februari tahun lepas.

Teow Kok Guan, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norsalha Hamzah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Peniaga itu dituduh secara rasuah menawarkan suatu suapan wang tunai berjumlah RM200,000 kepada Insp Muhamad Taufiq Ibrahim, seorang pegawai badan awam iaitu Pegawai Operasi di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

Ia sebagai dorongan supaya melakukan hal ehwal berkaitan prinsipalnya iaitu melepaskan sebuah lori bonded bernombor pendaftaran PNX 3913 yang ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Perbuatan itu dilakukan kem Pasukan Gerak Am (PGA) Batalion 1, Kuala Perlis kira-kira pukul 9 pagi pada 19 Feb 2023 dan dia dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan dia boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, sekiranya suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan Teow diikat jamin RM55,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan dia melaporkan diri di Pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 12 Sept untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhammad Akmal Abdul Ghani manakala tertuduh diwakili Peguam Mohd Hakim Hamran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan