KPDN Gagalkan Cubaan Seleweng Diesel Di Kemaman

08/08/2024 02:30 PM

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas 8,190 liter diesel bersubsidi di kawasan perindustrian Chukai, Kemaman, semalam.

Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata rampasan dilakukan kira-kira 12.30 tengah hari dalam satu operasi melibatkan 13 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Terengganu serta polis.

Beliau berkata dua lelaki berusia lingkungan 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Semasa serbuan, didapati dua lelaki itu sedang menjalankan proses pemindahan diesel dari sebuah lori tangki ke lori tangki lain menggunakan saluran paip getah.

"Operasi dijalankan selepas risikan selama seminggu. Keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM286,781.30," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Saharuddin berkata siasatan awal mendapati modus operandi sindiket ialah mengambil diesel dari depoh minyak di Kertih menggunakan lori dan dihantar ke sebuah syarikat yang mempunyai permit barang kawalan.

Bagaimanapun, diesel itu katanya tidak dipindahkan sepenuhnya ke syarikat berkenaan dan bakinya dipindahkan ke sebuah lori tangki yang lain untuk dijual semula kepada pembeli di pasaran gelap.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati dua lori terbabit tidak memiliki sebarang permit atau surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk berurusan dengan barang kawalan terbabit.

“Kes sedang disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan