Pengasuh Direman Enam Hari Bantu Siasatan Kematian Kanak-kanak Dua Tahun

08/08/2024 03:13 PM

IPOH, 8 Ogos (Bernama) -- Pengasuh yang ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun direman enam hari bermula hari ini hingga 13 Ogos.

Perintah reman terhadap wanita berusia 30 tahun itu dikeluarkan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi selepas menerima permohonan pihak polis.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris dalam kenyataan malam tadi dilaporkan berkata wanita itu ditahan petang semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Polis menerima laporan daripada bapa kanak-kanak itu kira-kira 7.20 malam Isnin lepas setelah mendapati mangsa tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh di lantai di rumah pengasuhnya di sini.

Kanak-kanak itu yang dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk pemeriksaan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pediatrik kira-kira 11.10 malam Selasa.

Bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan pada kepala akibat trauma tumpul. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan