Kes Gagal Isytihar Harta: Daim Sekali Lagi Mohon Dapatkan Laporan SPRM

08/08/2024 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin sekali lagi memfailkan permohonan bagi mendapatkan dokumen berhubung pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah terhadapnya.

Daim, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, memfailkan permohonan itu melalui Tetuan Raj & Sach pada Julai lepas bagi mendapatkan sesalinan laporan iaitu aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang membawa kepada pertuduhan yang dihadapinya.

Menerusi afidavit sokongan yang diperoleh media, Daim, 86, memaklumkan telah memfailkan permohonan sama pada 31 Jan lepas dan peguam beliau turut menulis surat kepada responden (pendakwa raya) berhubung perkara itu namun pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas dan mendakwa sehingga kini, responden enggan membekalkan dokumen berkenaan.

Menurut Daim, dokumen itu mesti didedahkan kepadanya mengikut Seksyen 29(4) Akta SPRM 2009 atau Seskyen 51 atau Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kerana ia relevan untuk memastikan beliau mendapat perbicaraan yang adil.

Pada prosiding hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon supaya tarikh pendengaran berhubung permohonan itu ditetapkan pada 27 Ogos ini.

"Pihak pendakwaan telah menerima notis permohonan ini pada 6 Ogos lepas dan pihak kami akan membantah permohonan tersebut.

"Saya juga memohon supaya Tun Daim hadir untuk prosiding pendengaran nanti," katanya yang turut memaklumkan pendakwaan akan memfailkan afidavit dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, peguam M. Puravelan yang mewakili Daim memohon supaya kehadiran anak guamnya dikecualikan pada prosiding akan datang.

Azura menetapkan 27 Ogos untuk pendengaran dan membenarkan permohonan peguam bagi mengecualikan kehadiran tertuduh pada prosiding itu. 

Pada 29 Jan lepas, Daim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan