Kematian Kadet TLDM: 29 NGO Hantar Memorandum Desak Buka Semula Kes

08/08/2024 05:31 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 29 badan bukan kerajaan (NGO) diketuai Lawyers For Liberty (LFL) hari ini menyerahkan memorandum bagi memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka semula siasatan kes kematian pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) J. Soosaimanicckam, enam tahun lepas.

Peguam dari LFL Zaid Malek berkata memorandum itu diserahkan pada 10.45 pagi tadi kepada pegawai PDRM di Bukit Aman.

Beliau berkata tuntutan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh bulan lepas yang mengklasifikasikan kematian pegawai itu sewaktu menjalani latihan pegawai kadet di Lumut pada 19 Mei 2018 lepas sebagai kes homisid.

Beliau yang mewakili keluarga pegawai kadet itu berkata pada 1 Ogos lepas, pihaknya telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya berhubung keputusan itu, namun sehingga kini masih tiada respon daripada PDRM.

“Sehingga kini, pihak keluarga mendiang tidak dihubungi pihak polis dan tidak dimaklumkan sama ada siasatan sedang dijalankan atas kematian mendiang Soosamanickam selaras dengan laporan tersebut dan keputusan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 29 Julai lepas,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tersebut di Bukit Aman, hari ini.

Beliau yang ditemani ahli keluarga mendiang Soosaimanicckam ketika ditemui berkata hari ini pihaknya mengambil langkah pertama menyerahkan memorandum yang ditujukan kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) agar memulakan siasatan di bawah Seksyen 302 iaitu membunuh dan atau 304 Kanun Keseksaan iaitu dengan cuai menyebabkan kematian.

Sementara itu Zaid berkata pihaknya mahu satu pasukan siasatan bebas dilantik oleh PDRM untuk menjalankan siasatan secara serius, telus serta menyeluruh.

“Kami juga memohon PDRM melaporkan hasil perkembangan siasatan kepada pihak keluarga untuk memastikan ketelusan siasatan," katanya.

Sementara itu abang kepada si mati yang dikenali sebagai Charles berharap PDRM dapat membela dan memberikan keadilan atas kematian adiknya dengan mengheret pelaku ke muka pengadilan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan